suria

Alasan Penghakiman Antara Pertimbangan Kenaikan Pangkat Hakim - Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memberikan penekanan terhadap alasan penghakiman sebagai satu daripada prasyarat dalam memutuskan kenaikan pangkat hakim, kata Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi semalam.

Zaki, yang juga Pengerusi JAC berkata selain daripada alasan penghakiman, statistik kes mahkamah yang diselesaikan oleh hakim juga turut diberikan pertimbangan.

"Kenaikan pangkat adalah berdasarkan merit dan prestasi, bukan semata-mata berdasarkan kekananan," katanya pada majlis angkat sumpah jawatan empat hakim Mahkamah Tinggi yang dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan sembilan Pesuruhjaya Kehakiman yang disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Zaki berkata anggota JAC akan meminta alasan penghakiman yang disediakan oleh calon dari semasa ke semasa.

Dalam menilai hakim bagi kenaikan pangkat, katanya suruhanjaya itu akan mendengar komen daripada kalangan peguam mengenai pembawaan dan tingkah laku mereka di luar mahkamah.

Pada majlis itu, Datuk Wahab Patail, 61, iaitu abang kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Datuk Clement Allan Skinner, 53, Datuk Mohamed Apandi Ali, 60, dan Datuk Zaharah Ibrahim, 58, mengangkat sumpah jawatan sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Wahab kini bertugas di Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur manakala Skinner di Kota Kinabalu. Mohamed Apandi, bekas peguam, dan Zaharah bertugas di Mahkamah Tinggi (Bahagian Komersial) di Kuala Lumpur.

Sembilan Pesuruhjaya Kehakiman berkenaan ialah Datuk Mariana Yahya, Dr Badariah Sahamid, Azman Abdullah, Mohd Yazid Mustafa, Zainal Azman Abdul Aziz, Yew Jen Kie, Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Zamani Abdul Rahim dan Vernon Ong Lam Kiat.

Zaki berkata dalam menilai para hakim bagi kenaikan pangkat, komen dan pandangan anggota JAC, yang juga merupakan hakim, adalah penting kerana mereka lebih mengenali hakim daripada orang lain.

Beliau juga berkata imej badan kehakiman telah bertambah baik sejak setahun lepas.

Sikap para hakim, majistret dan staf mahkamah terhadap peguam dan mereka yang hadir di mahkamah, juga semakin baik, katanya.

Bagaimanapun, badan kehakiman kekal tegas dalam soal penguatkuasaan undang undang dan mematuhi sepenuhnya dasar-dasar yang dilaksanakan, katanya.

"Mereka yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan mempunyai ruang untuk merayu," katanya.

Beliau berkata para hakim bukan sahaja dijangka untuk bekerja pada waktu bekerja tetapi juga selepas itu dan juga pada hujung minggu jika diperlukan.

Zaki turut menyentuh mengenai kebimbangan dengan peningkatan kes rayuan yang menunggu pendengaran di Mahkamah Rayuan yang menurutnya mencatatkan peningkatan ketara berikutan kadar penyelesaian kes di Mahkamah Tinggi yang semakin cepat. - BERNAMA

Artikel Lain