suria

ADUN Bakar Arang Keluar PKR, Isytihar Bebas

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Kedah Tan Wei Shu hari ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN Bebas kerana kecewa dipergunakan untuk kepentingan individu tertentu.

Tan yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, keputusannya meletakkan jawatan sebagai ADUN adalah muktamad.

"Kebanyakan pemimpin dalam parti bersikap 'kacang lupakan kulit', ini bukan saya.

"Beberapa minggu lalu saya menunggu pemimpin parti utk meminta maaf pada saya dalam semua media atas tuduhan yang bukan-bukan ke ats saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berpegang kepada prinsip dan tidak boleh bekerja dengan pemimpin yang tidak mengaku salah dan pandai bermuka-muka.

"Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai, tapi yang saya pandai, boleh buat atau tak boleh buat dan mahu buat atau tak mahu buat...itu saja saya tahu.

"Saya cuma tahu bercakap benar, tak seperti orang lain bermuka dua dan lidah bercabang,” katanya ketika membacakan kenyataan akhbar dua muka surat.

Beliau berkata, dia akan menjadi Adun Bebas dan berjanji akan terus berkhidmat seperti biasa dan berusaha memenuhi kehendak rakyat.

Ketika ditanya siapakah pemimpin yang beliau maksudkan, Wei Shu berkata: "Monyet-monyet kalau saya sebut semua tahu siapa dia."

"Saya sudah naik marah tapi kalau cakap sikit pasal monyet saya ingat tak salah kot,” ujarnya.

Jelasnya, beliau akan menyokong mana-mana parti yang dirasakan betul dan dia masih belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti politik pada ketika ini.

Beliau yang pernah memegang portfolio Pengerusi Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan Kedah ini menegaskan bahawa pengundurannya itu tidak ada kena mengena dengan perlucutan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Wei Shu merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan Exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Pada 3 April lalu, Datuk Johari Abdul yang juga Pengarah Pemantapan Keanggotaan PKR Pusat, dalam kenyataan dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Melayu dipetik sebagai berkata faktor utama Wei Shu digugurkan adalah kerana kepemimpinan PKR mahu memberi peluang kepada ADUN Sidam, bagi membolehkannya menerima pencen.

Johari dilaporkan, turut meminta Wei Shu mengetepikan kepentingan peribadi dan memberi laluan kepada rakan lain untuk menerima manfaat sebagai Exco.

Pada pemilihan Exco yang baru dua nama digugurkan mereka ialah ADUN Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dan Wei Shu yang mana kedua-duanya sempat memegang jawatan Exco Kerajaan Kedah selama dua tahun.

Artikel Lain