suria

TPM Mahu Pemimpin Masyarakat Kemuka Cadangan Untuk Tambah Baik NEM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya pemimpin dan kumpulan berkepentingan dalam masyarakat mengemukakan cadangan dan idea mereka kepada kerajaan dalam bagaimana boleh memperbaikkan lagi Model Ekonomi Baru (NEM).

Beliau berkata mereka seharusnya mengambil kesempatan ini memandangkan NEM yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas masih dalam peringkat perbincangan dan penambahbaikan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kerajaan juga bersedia untuk mendengar dan menerima apa-apa cadangan bernas yang dikemukakan.

"Adalah menjadi kewajipan bagi semua pemimpin-pemimpin masyarakat mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan cadangan, pandangan dan idea yang difikirkan sesuai supaya apabila ia dilancarkan sepenuhnya nanti, maka kepentigan semua pihak akan terus terpelihara dan mendapat perhatian yang adil dan saksama," katanya pada majlis makan malam "Budi Disemai, Bakti Dituai" anjuran Umno Bahagian Bukit Bintang di sini, malam ini.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa di bawah NEM, kepentingan semua kaum terutamanya Melayu juga akan terus terbela oleh kerajaan, dan menurutnya perkara itu ditampilkannya ada pihak khususnya orang Melayu yang menyuarakan kebimbangan mereka bahawa kedudukan mereka akan terjejas dengan pelaksanaan NEM.

"Saya nak katakan ini adalah tanggapan yang agak silap, kerana mungkin kita sekian lama agak selesa dengan dasar-dasar yang terdahulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain