suria

Suri Rumah Dakwa Nampak Remaja Diculik

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Kuala Bekah, Penaga, dekat sini, gempar apabila tersebar berita seorang remaja perempuan didakwa diculik seorang lelaki dan dilarikan ke dalam kawasan hutan berhampiran sebuah kilang di kampung itu semalam.

Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Tan, 45, mendakwa beliau melihat remaja berkenaan sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada pelukan seorang lelaki ketika melalui Jalan Kuala Bekah kira-kira pukul 4 petang semalam.

Katanya, ketika itu beliau sedang memandu dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membawa cucunya berusia tujuh tahun ke klinik.

"Ketika saya lalu di jalan berkenaan saya nampak lelaki yang memakai baju warna coklat mengacukan pisau ke leher mangsa berbaju biru muda di tepi jalan dan lelaki terbabit turut memeluk mangsa dari belakang," katanya kepada pemberita di lokasi remaja perempuan itu dipercayai diculik, di sini, hari ini.

Katanya, ketika beliau berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku, bagaimanapun kedua-duanya sudah tiada di tempat kejadian.

Tan yang bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepada remaja itu dipercayai berusia lingkungan 17 atau 18 tahun, terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Berikutan penyebaran berita penculikan remaja perempuan itu menyebabkan lokasi terakhir mangsa dilihat dibanjiri penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Supritendan Sukri Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh Tan.

"Bagaimanapun sukar hendak kami katakan ini sebagai kes culik kerana tiada bukti dan tiada ibu bapa melaporkan mengenai kehilangan anak mereka.

"Ketika ini, kami hanya berpandu kepada cerita saksi. Bagaimanapun, kami masih menyiasat kes ini," katanya.

Katanya, polis turut menjalankan operasi mencari mangsa dan lelaki berkenaan di kawasan hutan di situ dari pukul 7 malam semalam dan terpaksa dihentikan kira-kira pukul 12 malam berikutan keadaan gelap. - BERNAMA

Artikel Lain