suria

Sambut Tahun Baru Penganut Hindu dan Hari Vesakhi Dengan Semangat 1Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada penganut Hindu dan selamat hari Vesakhi kepada masyarakat Sikh.

Najib, yang kini berada di Washington untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear, meluangkan masanya untuk menulis ucapannya itu dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Beliau berkata bahawa dalam masa dua hari ini penganut Hindu akan menyambut tahun baru mereka.

"Hari istimewa ini dikenali dengan pelbagai nama; kepada kaum Tamil ianya dikenali Puthandu, dan kali ini tahun ini dikenali sebagai Vikruthi, manakala kepada kaum Malayalee, ia dikenali sebagai Vishu.

"Masyarakat Sikh pula menyambut Vesakhi pada 14 Apri1 sempena kelahiran Khalsa - peristiwa paling penting bagi masyarakat Sikh di seluruh dunia," kata Najib.

Perdana Menteri berharap penganut Hindu dan masyarakat Sikh akan menyambut hari yang mulia itu bersama anggota keluarga dan sahabat handai.

"Seperti amalan kita di Malaysia, perayaan seperti ini membolehkan kita lebih mengenali dan memahami antara sama sama lain. Lebih dalam pengertian kita terhadap satu sama lain, bertambah mendalamlah penghargaan kita kepada kekayaan dan kekuatan budaya kita.

"Walaupun terdapat kepelbagaian ini, nilai bersama yang kita miliki dapat menyatukan kita. Dalam semangat 1Malaysia, marilah kita gunakan peluang ini untuk sama-sama menyambut hari-hari yang istimewa ini," kata Najib. -BERNAMA

Artikel Lain