suria

RM2.1 Juta Peruntukan Tambahan Dilulus, 35 Peratus Bumbung Rosak Dibaiki

HULU SELANGOR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2.1 juta bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung 560 unit di tujuh blok pangsapuri kos rendah Seri Semarak di Bukit Beruntung.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tujuh kontraktor telah disenarai pendek bagi menjalankan projek itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, secara keseluruhan hampir 35 peratus kerja-kerja membaiki bumbung rosak di 50 blok pangsapuri kos rendah di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung di sini telah siap.

Noh berkata, demikian ketika mengumumkan peruntukan tambahan itu ekoran rayuan daripada persatuan penduduk di kawasan terbabit melalui sepucuk surat kepadanya sebelum ini.

Terdahulu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, meninjau proses membaik pulih bumbung di pangsapuri kos rendah Seri Rose 2, satu daripada blok pangsapuri di Bukit Sentosa, yang kini hampir 70 peratus siap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat tinjauan di kawasan itu sempena program Juara Rakyat pada 19 Januari lepas meluluskan peruntukan RM15.6 juta bagi membaiki dan membaik pulih bumbung rosak di 50 blok pangsapuri kos rendah di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.

Lebih 1,000 keluarga menetap di kawasan itu menghadapi masalah selepas bumbung pangsapuri mereka musnah dalam kejadian ribut lapan tahun lepas menyebabkan ramai berpindah keluar, sekaligus menurunkan nilai hartanah di kawasan itu.

Noh berkata, proses membaiki bumbung yang dilaksanakan dalam tiga fasa oleh 15 kontraktor itu dijangka siap lebih awal dengan kebanyakannya siap cepat daripada tempoh enam bulan ditetapkan bermula 19 Mac lepas.

Contohnya, kata Noh, fasa pertama telah melebihi 26 peratus sasaran kerja awal.

Bagi memastikan projek itu tidak terbengkalai, beliau berkata, pelaksanaannya akan dipantau oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (PPNS) yang mengeluarkan tender dan membayar kontraktor terbabit.

Hasil tinjauannya, Noh berkata, beliau akan memanjangkan kepada Tenaga Nasional Berhad mengenai masalah pendawaian elektrik yang dialami penduduk di pangsapuri terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain