suria

Pesakit Mental Bebas Tuduhan Bunuh Pekerja Kedai Buku

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pesakit mental tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh seorang pekerja kedai buku yang mayatnya ditemui dengan 37 kesan tikaman, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chia Yong Tick.

Chia, 37, didakwa membunuh pekerja wanita Yong Siew Lee, 28, di HQ Bookstore, No 7-1, Jalan Bukit Angsana 1, Taman Bukit Angsana, Cheras, Hulu Langat, kira-kira pukul 7 malam, 12 Sept 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa ditemui dengan 37 kesan tikaman dan punca kematian disebabkan oleh kecederaan di bahagian dada dan perut. Bagaimanapun, senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu tidak ditemui.

Berdasarkan keterangan saksi, Chia menerima rawatan psikiatri sejak 1994 dan kerap kali menerima rawatan di Hospital Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Keterangan ahli kimia juga mengesahkan terdapat kesan ubat ditemui dalam darah tertuduh di mana ia diberikan kepada pesakit mental dan berfungsi sebagai ubat penenang.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, laporan pemeriksaan mental tertuduh mengesahkan bahawa Chia mengalami gangguan 'bipolar anti-social traits' tetapi mampu dibicarakan.

Katanya, pendakwaan bergantung kepada bukti mengikut keadaan yang menjurus kepada keputusan yang tidak dapat dicabar bahawa tertuduh melakukan jenayah itu.

Beliau berkata, keterangan menunjukkan bahawa tertuduh memberitahu bapanya bahawa dia telah melakukan sesuatu iaitu "merompak seorang wanita" dan tertuduh pada masa itu dalam ketakutan dan terdapat darah pada baju yang sedang dipakainya.

Mohtarudin berkata, kad pesakit mental dan jam tangan milik Chia yang mempunyai DNA mangsa juga ditemui di tempat kejadian. Bagaimanapun semua bukti itu tidak menjurus kepada keputusan yang tidak dapat dicabar.

"Keterangan bapa tertuduh adalah prejudis dan walaupun ia tidak dibantah, mahkamah perlu berhati-hati. Keterangan menunjukkan bahawa tertuduh hanya kata dia merompak dan pakaiannya yang mempunyai kesan darah tidak dirampas oleh pegawai penyiasat (sebagai bahan bukti).

"Terdapat kemungkinan kad pesakit mental milik tertuduh telah diletakkan di tempat kejadian dan juga tiada keterangan menunjukkan bahawa jam tangan yang ditemui di tempat kejadian adalah milik tertuduh.

"Kesemua keterangan ini adalah meragukan dan tidak cukup kukuh untuk membuktikan kes prima facie. Oleh itu demi keadilan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, Chia yang berdiri di kandang tertuduh berkata: "Betul ke? Terima kasih tuan hakim...terima kasih."

Ketika seorang anggota polis mahkamah meminta dia keluar dari kandang tertuduh, Chia enggan berbuat demikian kerana bimbang akan ditangkap oleh polis dan dia turut mengucapkan terima kasih kepada peguam belanya, Muhammad Rafique Rashid Ali. - BERNAMA

Artikel Lain