suria

Najib Yakin Malaysia Mampu Tangani Kegiatan Ekstrem Dan Radikal

WASHINGTON: Malaysia mampu berdepan dengan pelbagai bentuk kegiatan ekstrem dan radikal melalui tadbir urus yang baik, ketelusan, demokrasi yang subur, kekuatan ilmu rakyatnya dan pertumbuhan ekonomi yang saksama, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Malaysia dapat menghadapi cabaran mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatannya.

"Kami adalah satu keluarga dan Malaysia adalah tanah air kami. Kami adalah 1Malaysia di mana rakyat diberi keutamaan dan pencapaian dititik beratkan.

"Asas 1Malaysia ialah Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," katanya pada jamuan malam "Wajah-wajah 1Malaysia" di hotel Mandarin Oriental di sini yang turut dihadiri beberapa pembuat dasar Amerika Syarikat.

Najib berkata Malaysia juga telah membuktikan bahawa sebuah negara Islam boleh menjadi demoktratik, bersatu, progresif, bertolak ansur dan kompetitif dalam bidang ekonomi.

Jamuan malam itu adalah sebahagian daripada festival "Wajah-wajah 1Malaysia" yang diadakan di sini untuk memberi peluang kepada rakyat Amerika mengetahui lebih mendalam mengenai kekayaan pelbagai budaya dan seni Malaysia.

Festival itu dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersama pelbagai agensinya selain Tourism Malaysia, Sutra Dance Theatre dan Permata Seni Muzik. - BERNAMA

Artikel Lain