suria

Malaysia Cadang Konvensyen PBB Mengenai Keselamatan Nuklear

WASHINGTON: Meningkatkan peranannya sebagai warga dunia yang bertanggungjawab, Malaysia pada Selasa menyatakan sokongan terhadap dunia bebas daripada senjata nuklear dan mencadangkan penubuhan satu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Keselamatan Nuklear.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu perhimpunan pemimpin dari 47 negara termasuk tuan rumah Amerika Syarikat yang menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear bahawa dalam menangani ancaman keganasan nuklear, mengenalpasti punca-punca yang mendasari keganasan mestilah juga diberi perhatian.

"Dalam hal ini, kami percaya menggerakkan proses pelan damai Timur Tengah dan menguruskan negara-negara yang gagal adalah juga penting," katanya.

Menyatakan bahawa tenaga nuklear hanya perlu digunakan untuk tujuan keamanan, Najib menggesa semua negara melakukan sepenuhnya amalan telus dalam program nuklear masing-masing dan mematuhi peruntukan-peruntukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Triti Pengawalan Nuklear (NPT).

"Dalam kapasiti kami sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah IAEA, Malaysia akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kesemua prinsip berkenaan dihormati dan dipromosikan," tegas beliau.

Obama mengadakan sidang kemuncak itu untuk mendapatkan sokongan dunia bagi mengekang bahan-bahan nuklear dalam tempoh empat tahun untuk mengelakkannya daripada diperoleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Najib menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengukuhkan keupayaan negara masing-masing bagi mengekalkan kawalan berkesan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan nuklear.

Ini termasuklah kerjasama dalam pembinaan keupayaan, pertukaran dan perkongsian maklumat yang tepat pada waktunya, perisikan berkualiti tinggi dan penggunaan amalan-amalan terbaik.

Perhimpunan para pemimpin dunia itu turut mendapat taklimat ringkas daripada Najib mengenai Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 Malaysia yang diluluskan baru-baru ini bertujuan menguatkuasakan kawalan terhadap eksport, pemindahan, transit dan pembrokeran barangan pertahanan dan bahan-bahan berkaitan yang mungkin digunakan bagi membangunkan senjata nuklear dan penghasilan senjata pemusnah besar-besaran.

Najib berkata mereka yang melanggar undang-undang itu akan dikenakan hukuman berat dan Malaysia bersedia berkongsi pengalamannya dalam penggubalan undang-undang itu dengan negara lain.

Pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas berakhirnya sidang kemuncak dua hari itu, Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia tidak mempunyai bahan nuklear yang berbahaya, Malaysia boleh dijadikan laluan oleh negara ketiga.

Sekiranya bahan nuklear jatuh ke tangan pengganas sama ada di dalam atau luar negara, kepentingan Malaysia akan turut terjejas kerana impaknya ke atas ekonomi dunia.

Najib berkata konflik Timur Tengah yang terus berlanjutan mestilah juga ditangani dalam usaha-usaha perlucutan senjata.

"Jika anda dapat melenyapkan rungutan-rungutan berasas, maka anda akan mengurangkan potensi pengganas-pengganas dan ini ada kaitan dengan proses damai Timur Tengah, ia masih menjadi kunci kepada usaha-usaha kita untuk menghapuskan keganasan," katanya.

Mengenai cadangan supaya Konvensyen PBB Mengenai Keselamatan Nuklear, Najib berkata ia akan memberi mandat yang sah daripada segi undang-undang untuk IAEA menggalakkan dan memastikan keselamatan nuklear secara universal kerana terma rujuan sedia ada IAEA hanya menyebut mengenai keselamatan nuklear dan bukannya jaminan kawalan keselamatan nuklear.

Perdana Menteri berkata dengan perkembangan pengunaan kuasa nuklear untuk menepati pengeluaran karbon yang rendah kerana pemanasan global, adalah amat penting bagi dunia untuk bekerjasama supaya bahan nuklear tidak jatuh dalam tangan pengganas.

Najib berkata sidang kemuncak itu membuat beberapa ketetapan bagi negara-negara melaksanakan amalan-amalan terbaik dalam kawalan bahan nuklear dan maklumat tentang pemerosesannya supaya diperketatkan lagi dan mengurangkan ruang bagi bahan berkenaan terlepas kepada pihak-pihak yang tidak wajar.

Negara-negara yang menghadiri juga bersetuju untuk menambah sumbangan kepada dana IAEA supaya ia dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan daripada segi bantuan teknikal dan verifikasi.

Butiran penambahan dana itu masih belum diperincikan dan kemungkinan negara yang tidak menghadiri sidang kemuncak itu akan turut menyumbang.

Najib berkata visi Obama untuk dunia tanpa senjata nuklear disokong oleh semua negara pada sidang kemuncak itu.

Meskipun perlaksanaan ke arah ini mungkin mengambil masa yang lama, langkah pertama telah diambil dengan termeterainya perjanjian antara Amerika Syarikat dan Russia minggu lepas untuk mengurangkan stok penimbal senjata nuklear masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain