suria

Kerajaan Selesaikan Keluhan Peserta TKPM Hulu Yam

HULU SELANGOR: Rintihan peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Hulu Yam di sini berhubung kedaifan prasarana di ladang itu mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memberi peruntukan RM1.28 juta bagi menaik taraf infrastruktur di situ.

Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Ulu Yam, Nordin Hashim, 59, berkata, sejak ditubuhkan empat tahun lalu, TKPM Hulu Yam yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, belum mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya yang sempurna.

Beliau berkata, pihaknya pernah membawa perkara itu ke pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri, Yaakob Sapari tetapi tiada sebarang perkembangan sehingga hari ini.

"Kami pernah ceritakan segala masalah petani di sini, termasuk isu status tanah ladang ini, malangnya perbincangan hanya tinggal perbincangan. Ia berakhir di situ sahaja," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi dialog peserta ladang itu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semalam.

Beliau berkata, janji kerajaan negeri untuk membantu mereka bukan perkara baru, malah sejak gabungan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor pada Mac 2008, tiada seorang pun wakil kerajaan negeri datang ke ladang itu.

"Sudahlah mereka tak datang jenguk, kami dengar sekarang ini mereka ingin menjual pula tanah ini. Lagi la susah hati," kata Nordin.

TKPM yang dikenali sebagai "Selangor Veggie Park" diusahakan oleh 37 peserta dari seluruh Selangor di tanah seluas 220 hektar milik Permodalan Negeri Selangor Berhad.

TKPM adalah sebuah ladang tanaman sayuran berdaun dan perikanan akuakultur. Setiap peserta mengusahakan antara dua dan 10 hektar tanah yang disewakan kepada mereka dan dipantau oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Sejak penubuhannya TKPM Hulu Yam telah mengeluarkan 65,352 tan metrik sayuran bernilai RM48 juta, dan 33 peserta yanga terlibat, memperoleh pendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan.

Dengan purata pengeluaran 80 metrik tan sehari, Selangor Veggie Park muncul sebagai pusat pengeluaran terbesar bagi sayur berdaun di Malaysia bagi menampung permintaan di Lembah Klang yang berjumlah 50 tan metrik sehari.

Nordin berharap prasarana di TKPM Hulu Yam itu dapat dipertingkatkan memandangkan ladang itu turut dikunjungi pelancong dan pelajar termasuk dari luar negara.

"Ramai pelancong datang, contohnya dari Taiwan dan Hong Kong. Mereka datang untuk belajar bagaimana kita tanam sayur dan majukan kawasan ini," katanya.

Noh pula berkata, kerajaan negeri sepatutnya memikirkan kaedah untuk memajukan kawasan tersebut dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan membangunkannya demi kepentingan penduduk, bukannya mengambil jalan pintas dengan menjualnya.

"Saya tengok kawasan ini sesuai untuk dijadikan tempat agrotourism kerana ia dikelilingi bukit, gunung, tasik dan mempunyai pelbagai jenis tanaman sayuran. Kalau betul-betul dibangunkan, saya yakin ia mampu menarik kehadiran pelancong," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan menawarkan untuk menjual tanah itu kepada kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada harga RM35 juta.

Noh berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak berminat memajukan kawasan itu, ia boleh menyerahkannya kepada kerajaan persekutuan untuk menguruskannya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan peruntukan RM1.28 juta kepada TKPM serta RM400,000 kepada enam persatuan penanam sayur sekitar kawasan Parlimen Hulu Selangor di bawah peruntukan insentif amalan teknologi pertanian.

Ditanya sama ada pemberian itu berkaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, Nordin berkata, sebagai pengerusi beliau hanya inginkan yang terbaik buat peserta dan sebagai peladang mereka tidak terlalu memikirkan mengenai politik.

"Kita sebagai pekebun tidak terlalu memikirkan tentang politik. Soal pilihan raya letak tepi dulu. Yang penting masalah kami selesai. Siapa yang bantu kami kekalkan produktiviti, insyaAllah orang itu akan kami sokong,"katanya.

Pendapat sama disokong rakannya yang juga pengusaha ladang, Choo Kok Haing, 57, yang menyifatkan peruntukan itu adalah berlandaskan tanggungjawab dan tidak boleh dipandang dari sudut politik semata-mata.

"Semua pihak perlu menunaikan tanggungjawab, tidak kira sama ada kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain