suria

Wanita Umno Pertikai MB S'gor Buka Pusat Operasi Di Pejabat Daerah

IPOH: Pergerakan Wanita Umno hari ini mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membuka bilik operasi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor di pejabat daerah kawasan itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan itu boleh menimbulkan persekitaran tidak adil serta rasa serba salah pada kalangan petugas di pejabat tersebut terutamanya Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahalan yang juga berperanan sebagai pengurus pilihan raya kecil itu.

"Kita khuatir satu keadaan yang mungkin tidak adil akan berlaku bila Menteri Besar berada di pejabat pegawai daerah yang dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya," katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Hamidah berkata, masyarakat juga akan mempersoalkan integriti pegawai berkenaan yang sepatutnya dilihat sebagai bebas dan neutral dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu.

Beliau seterusnya mendesak agar Nor Hisham digugurkan daripada menguruskan pilihan raya tersebut bagi menjamin integriti Suruhanjaya Pilihan Raya.

Penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diadakan Sabtu ini manakala pengundian ditetapkan pada 25 April. - BERNAMA

Artikel Lain