suria

Tiga Lelaki Samun, Larikan Kereta Curi 50 km

KUANTAN: Tiga lelaki warga asing menyamun sepasang suami isteri di rumah mereka di sebuah kampung di Jalan Rompin-Muadzam Shah dekat Rompin, dan bertindak melarikan kereta milik keluarga itu sejauh kira-kira 50 kilometer.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata, kejadian pada 4.30 pagi semalam itu berlaku ketika ketiga-tiga lelaki terbabit yang bertopeng dan bersenjatakan dua bilah parang masuk ke dalam rumah milik seorang pengawal keselamatan.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 30-an yang masuk melalui pintu belakang rumah berkenaan, kemudian menyerbu masuk ke bilik mangsa berusia 45 tahun dan isterinya yang berumur 38 tahun.

"Suspek mengikat tangan kedua-dua mangsa menggunakan wayar telefon dan menutup muka mereka dengan selimut sebelum mengambil wang tunai RM60 bersama tiga buah telefon bimbit," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu yang sama dan membawa kereta jenis Proton Wira milik mangsa sehingga jarak 50 kilometer dari rumahnya.

Sepasukan polis yang melakukan rondaan kemudian menemui kereta itu yang ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat dekat Kota Bahagia kira-kira 12 jam selepas mangsa membuat laporan. - BERNAMA

Artikel Lain