suria

Speaker Berhak Menegur Anggota Parlimen Yang Berkelakuan Melampau

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Speaker Dewan Rakyat, berhak memberi amaran kepada anggota parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melaksanakan tugasnya tanpa berpihak kepada sesiapa. "Speaker Parlimen merupakan orang yang menggunakan kuasanya dan jika beliau merasakan seseorang anggota parlimen itu berkelakuan melampau, beliau menjalankan tugasnya dengan betul untuk membuat teguran. Saya fikir apa yang beliau lakukan adalah betul.

"Tidak kira daripada BN (Barisan Nasional) atau luar BN, ada etika tertentu yang kita perlu patuhi. Jika beliau merasakan anggota Parlimen itu berkelakuan melampau, beliau ada kuasa untuk menegurnya dan melakukan apa yang patut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas tindakan Pandikar di Dewan Rakyat yang memberikan amaran keras kepada Tajuddin kerana kononnya mengugut anggota Parlimen Ipoh Barat M.Kulasegaran daripada DAP di luar Dewan Rakyat pada Khamis lepas. Dalam persidangan Dewan Rakyat pagi ini, Pandikar telah memberi amaran keras kepada Tajuddin berhubung dakwaan Kulasegaran bahawa beliau diugut di luar dewan pada hari itu.

Sementara itu ketika ditemui di luar dewan, Tajuddin yang tiada di dewan ketika amaran tersebut diberikan berkata beliau tidak menerima amaran tersebut kerana berpendapat beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya tak ugut. Saya beri amaran kepada Kula, mulut jangan celupar. Ucapan walaupun dalam dewan dan luar dewan jadi tabiat, mencerca, menghina dan mengutuk. Tidak bermakna bahawa demokrasi merupakan lesen untuk anda kutuk, cerca dan fitnah orang," katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia dikenakan sebarang tindakan.

Beliau berkata itu bukan menghina Pandikar tetapi tidak adil untuk menegurnya tanpa sebab.

Katanya beliau telah dipanggil oleh Speaker dan telah menjelaskan perkara sebenar yang berlaku tetapi tidak dimaklumkan dengan amaran yang diberikan kepada beliau.

Sekiranya Speaker mahu memberi amaran keras, ramai lagi anggota parlimen lain yang boleh dikenakan tindakan tersebut terutama yang kerap tidak menghormati Speaker ketika dalam dewan.

Sementara itu, Kulasegaran berkata beliau akan membuat laporan polis sekiranya Tajuddin tidak mengambil sebarang tindakan termasuk membuat permohonan maaf selepas diberi amaran hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain