suria

Samy Nafi MIC Boikot Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysian Insider (MI) kerana menyiarkan berita melalui portalnya yang beliau sifatkan berniat jahat.

Beliau berkata laporan MI Selasa bahawa parti itu akan memulau pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April adalah tidak benar.

Bukan kali ini saja, malah portal berita online itu sering menyiarkan serangan terhadap MIC berkenaan kerana beberapa sebab tertentu, katanya ketika mengulas sebuah berita dalam MI yang mendakwa MIC akan memulau pilihan raya kecil itu sekiranya timbalan presidennya Datuk G. Palanivel tidak dipilih untuk bertanding.

MI melaporkan bahawa kempen Umno agar timbalan ketua pemuda MIC, yang juga anak tempatan V. Mugilan dan bukannya Palanivel diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu, telah menyebabkan beberapa pemimpin MIC tawar hati untuk berkempen dan membatalkan banyak majlis.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac. Pada pilihan raya umum 2008, beliau mengalahkan Palanivel yang menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal. Pencalonan akan diadakan Sabtu ini.

Samy Vellu berkata esok, beliau akan meminta peguamnya menghantar notis kepada portal berita itu supaya memohon maaf dan sekiranya MI enggan berbuat demikian, tindakan undang-undang akan difailkan.

Beliau juga berkata MIC tidak membatalkan sebarang majlis yang telah dirancang. - BERNAMA

Artikel Lain