suria

Polis Sentiasa Pantau Isu Keselamatan Di Tempat Ibadat - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memantau sebarang isu atau insiden dan perkembangan yang berkaitan dengan keselamatan negara termasuk keselamatan di tempat-tempat ibadat agar ia sentiasa terpelihara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membuat pemantauan dan risikan terhadap kegiatan individu ataupun kumpulan pendesak dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengeluarkan kenyataan atau membuat tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Kerajaan memang memandang serius insiden-insiden khianat terhadap rumah ibadat oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab di negara ini.

"Sehubungan itu pihak berkuasa mengambil tindakan yang perlu bagi mengawal keadaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) mengenai tindakan yang diambil bagi memastikan keselamatan tempat-tempat ibadat.

Hishamuddin berkata ibu pejabat polis daerah dan balai-balai polis juga diarah membuat pemantauan rapi di surau dan gereja dengan cara meningkatkan rondaan dan menempatkan anggota di kawasan-kawasan yang bermungkinan berlaku perbuatan khianat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Langkah-langkah lain bagi menentukan kejadian terhadap rumah-rumah ibadat tidak berpanjangan ialah menentukan semua laporan yang dibuat disiasat dengan terperinci manakala mereka yang terlibat akan didakwa di mahkamah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain