suria

Lelaki Warga Myanmar Mati Ditikam

SHAH ALAM: Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemui mati dipercayai ditikam dengan senjata tajam pada lehernya di sebuah rumah tiga tingkat di Jalan Makmur 25/64, Seksyen 25 di sini hari ini.

Mangsa, Aung Aung, 27, yang memegang status pelarian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius dan kehilangan banyak darah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi hasil maklumat daripada seorang lelaki yang datang untuk mengutip sewa rumah yang didiami suspek.

Lelaki berkenaan yang tiba di rumah itu berasa curiga selepas mendapati rumah itu berkunci sebelum mengambil tindakan memecah pintu rumah dan ternampak tubuh mangsa terbaring di ruang tamu, katanya ketika ditemui di sini.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin ditikam dengan menggunakan sebilah pisau yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan. Ini kerana pisau itu didapati telah dibasuh tetapi masih meninggalkan kesan darah.

"Kita tidak menolak berlaku pergaduhan sebelum mangsa dibunuh, bagaimanapun motif kejadian itu masih dalam siasatan," katanya.

Noor Azam berkata, rumah berkenaan disewa antara tujuh dan lapan lelaki asing yang bekerja di kilang berhampiran namun kesemua mereka dipercayai menghilangkan diri sejurus selepas kejadian.

Beliau berkata, polis menemui kad UNHCR pada mangsa manakala barang-barang peribadi lain masih dalam siasatan kerana rumah berkenaan dalam keadaan berselerak.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Noor Azam berkata, polis kini mengesan rakan serumah suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain