suria

Lelaki Warga Bangladesh Dalang Sindiket Pasport Palsu RM1,000

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor hari ini menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang sindiket membuat dan menjual pasport palsu Malaysia kepada warga asing lain.

Pengarahnya, Johari Yusof berkata, dalam serbuan awal pagi di sebuah unit pangsapuri di Puchong dekat sini, polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan lelaki berusia 30an itu untuk menjalankan kegiatannya.

"Antaranya tiga pasport dengan gambar individu lain, cop getah keselamatan Kedutaan Bangladesh dan gam serta wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan beberapa mata wang asing bernilai RM500," katanya pada sidang media di sini.

Selain itu, pihaknya juga menemui 'pen drive' mengandungi senarai pelanggan yang sedang menunggu untuk mendapatkan pasport palsu daripada lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu.

"Pasport palsu berkenaan kebanyakannya dijual kepada rakan senegaranya dan rakyat Myanmar. Setiap satu dijual pada harga RM1,000," katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, lelaki itu yang telah berada di negara ini sejak tiga tahun lepas juga menggunakan pasport palsu berdasarkan keadaan pasport yang telah lusuh tetapi ditampal dengan gambarnya yang masih baru.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan sejak bila lelaki itu melakukan kegiatan tersebut dan sedang menjejaki beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 12B Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM100,000, atau penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun, atau sebatan tidak melebihi enam kali jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain