suria

Kerajaan Selangor Keluarkan Audit Dalaman YBK Hari Ini

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini mengeluarkan laporan audit dalaman Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang disediakan oleh Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa mengumumkan pengeluaran laporan itu di sini berkata, satu pasukan petugas bagi mengkaji laporan audit dalaman itu akan ditubuhkan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

"Panel itu mungkin terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Selangor bagi menjamin ketelusan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dijemput menganggotai panel itu dan begitu juga dengan Transparency International dan Majlis Peguam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Walaupun laporan berkenaan dilakukan oleh Bahagian Audit Dalam SUK, Abdul Khalid berkata, ada beberapa perkara yang masih belum dapat disahkan berikutan juruaudit dalaman itu tidak dibenarkan memasuki premis YBK untuk menjalankan siasatan.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri mahu mengkaji laporan itu termasuk kaedah yang digunakan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan.

Salinan laporan itu hari ini diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak media. - BERNAMA

Artikel Lain