suria

Kerajaan Jamin Keselamatan Dr Pornthip

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan terhadap keselamatan pakar patologi terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand untuk meneruskan keterangannya dalam inkues Teoh Beng Hock.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Dr Pornthip perlu mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaannya bahawa beliau menerima 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia untuk menghentikan keterangannya.

"Isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana kerajaan menjamin keselamatan semua orang termasuk bukan warganegara Malaysia dan pelancong yang berada di negara ini.

"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing, mereka sepatutnya melaporkan kepada polis dengan menyatakan maklumat lengkap," katanya kepada media di lobi Parlimen di semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Dr Pornthip yang mengatakan beliau tidak akan hadir memberi keterangan inkues Teoh yang akan bersambung pada 20 April ini kerana menerima 'tekanan politik'.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri Selangor hari ini tetap mahu Dr Pornthip memberikan keterangannya walaupun menggunakan rakaman video ataupun melalui Internet.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata beliau akan mendapatkan laporan daripada dua agensi di bawahnya iaitu polis dan Jabatan Imigrisen yang mempunyai kaitan secara langsung dalam isu ini.

"Saya dah minta laporan daripada dua agensi yang paling ada kaitan dengan isu ini, saya harapkan akan dapat laporannya dalam masa satu atau dua hari.

"Dakwaan ini perlu disiasat dan ia hanya boleh dijawab oleh agensi-agensi yang ada kaitan," katanya.

Tegasnya lagi, sehingga kini dakwaan Dr Pornthip itu hanya bersifat umum dan sukar bagi pihaknya untuk menjalankan siasatan.

"Saya menyeru kepada beliau untuk memberikan maklumat yang lebih jelas bagi membolehkan kita melakukan siasatan menyeluruh kerana kita tiada apa-apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Artikel Lain