suria

Jawatankuasa Antara Agama: MAIS Putuskan Pendirian Minggu Depan

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan berhubung pendirian mereka mengenai penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama yang ditubuhkan oleh Kabinet baru-baru ini.

Menurut Setiausaha MAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi mesyuarat tersebut akan disertai oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan ahli jawatankuasa MAIS yang lain.

"Saya tidak boleh ulas apa-apa setakat ini. Apa yang boleh saya katakana di sini MAIS akan adakan mesyuarat dengan Jabatan Mufti Negeri dan jawatankuasa MAIS minggu depan," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang membantah keputusan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6-8 April lepas mengambil keputusan sebulat suara membantah penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan daripada pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut berpandangan ia patut dielakkan sama sekali terutamanya dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Harussani berkata walaupun matlamat yang dikemukakan dengan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan keharmonian dan pemahaman agama di kalangan masyarakat Malaysia namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpendapat bahawa jawatankuasa itu bukan medium yang sesuai.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mencadangkan supaya penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama itu tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan, sebaliknya perlu turut dirujuk kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam, katanya.

Pada 6 April lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.

Artikel Lain