suria

Hari Banci Bermula 6 Julai

KUALA LUMPUR: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia kali kelima akan dijalankan mulai 6 Julai hingga 22 Ogos 2010 terhadap semua jenis tempat kediaman dan penduduk yang tinggal di tempat kediaman biasa mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerja-kerja pembancian akan dibuat termasuk bukan warga negara ini yang telah tinggal atau akan tinggal di Malaysia bagi tempoh enam bulan atau lebih dalam 2010.

"Pelaksanaan Banci 2010 telah diluluskan oleh kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 April 2009," katanya dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Liew bertanya bila bancian rakyat akan dijalankan tahun ini, kos bancian dan sama ada ia mengambil kira bilangan dan jenis Orang Kurang Upaya (OKU).

Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk banci adalah sebanyak RM200.2 juta.

Beliau juga berkata, orang-orang kurang upaya (OKU) akan dibanci di tempat kediaman mereka dan terdapat soalan berhubung jenis OKU. - BERNAMA

Artikel Lain