suria

Calon Anak Tempatan Beri Kelebihan BN

HULU TERENGGANU: Calon anak tempatan dilihat dapat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, jika BN mencalonkan anak tempatan, ia akan memberi kelebihan kepada parti ini kerana lebih mudah untuk didekati penduduk di situ yang memerlukan perkhidmatannya

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Santuari Kelah di Tasik Kenyir di sini, hari ini, katanya calon anak tempatan juga lebih mengenali penduduk di situ dan mampu memberi perkhidmatan dengan lebih baik daripada calon bukan dari kawasan itu.

"Dia (calon BN) dah ada rumah di situ, tinggal, lahir di situ dan semua orang kenal dia, ini akan memberi kelebihan," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, yang akan diumumkan pada Khamis ini.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berharap semua parti komponen BN perlu ada kesepaduan dalam usaha untuk menambat hati para pengundi di kawasan Hulu Selangor.

Katanya, untuk menghadapi semua pengundi yang berada di kawasan itu, jentera parti hendaklah menjalankan kempen secara berhemah.

Mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu berikutan kematian penyandangnya Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada Jumaat lalu akibat barah, beliau yakin BN di peringkat negeri Sarawak yang diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melakukan persediaan yang rapi.

"Kita di peringkat pusat akan sentiasa membantu, tertakluk kepada apa yang diperlukan oleh pimpinan BN negeri Sarawak.

"Ini merupakan kawasan yang kita duduki sekain lama, dan saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kerusi ini dapat kita pertahankan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain