suria

Bekas Pegawai Bomba Terlepas Hukuman Atas Dasar Teknikal

PUTRAJAYA: "Saya nak menyatakan kepada awak di sini, awak bernasib baik terlepas bukan sebab kami percaya awak tidak bersalah, tetapi kerana masalah teknikal awak dibebaskan," kata Mahkamah Rayuan kepada seorang ahli perniagaan hari ini.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar mengeluarkan kata-kata itu kepada bekas anggota bomba, Mohd Sayuthi Sahat, yang terlepas daripada hukuman setelah mahkamah itu membenarkan rayuan dan mengetepikan sabit kesalahannya serta hukuman setahun penjara dan denda RM10,000 kerana menerima rasuah sebanyak RM2,000.

Dua hakim lain yang menganggotai panel berkenaan ialah Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop.

Mohd Sayuthi, 56, dituduh menerima wang itu daripada Chan Thin Choy bagi mendorong pegawai bomba dan penyelamat Kamudin Samuri supaya mengeluarkan surat sokongan perniagaan di Sky Balls Snooker Training Centre di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bharu, pada pukul 11.55 pagi 1 Januari 2002.

Pada 27 Julai 2007, Mahkamah Sesyen Johor Bharu mendapati Mohd Sayuthi bersalah terhadap tuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara setahun serta denda RM10,000 atau enam bulan penjara ke atasnya. Rayuan Mohd Sayuthi di Mahkamah Tinggi, ditolak.

Pada perbicaraan hari ini, Suriyadi bertanya kepada pihak pendakwaan kenapa mereka tidak mencabar keterangan seorang daripada saksi pendakwaan atau menganggapnya sebagai saksi lemah kerana memberi dua keterangan yang bercanggah tentang kewujudan tangga dan pintu kecemasan di premis snuker berkenaan.

Beliau berkata, apabila wujud dua kemungkinan, faedah kesangsian perlu diberi kepada tertuduh.

Dalam hujahnya, Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Mohd Sayuti berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah terkilaf apabila beliau membuat andaian mengikut Seksyen 42 Akta Pencegahan Rasuah 1997, tanpa menimbangkan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan melebihi keraguan munasabah tentang unsur lain dalam pertuduhan berkenaan.

Andaian yang dibuat mengikut Seksyen 42 ialah apabila dibuktikan bahawa tertuduh telah menerima wang, maka wujudlah andaian berlakunya rasuah dan tertuduh akan diperintah membela diri.

Gobind Singh berkata, Mahkamah Sesyen juga gagal mempertahankan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Chan yang dia membayar wang berkenaan bagi mendapatkan surat sokongan telah tertolak oleh bukti yang diberi oleh seorang lagi saksi pendakwaan iaitu pegawai bomba dan penyelamat, yang menyatakan bahawa langkah pencegahan kebakaran telah disediakan di premis itu. - BERNAMA

Artikel Lain