suria

289 Pelatih Kem PLKN Titian Bintangor Dipindahkan

SEREMBAN: Seramai 289 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Titian Bintangor, Rembau telah dipindahkan ke tujuh buah kem PLKN yang lain pada Isnin lepas berikutan bilik-bilik kuliah kem berkenaan didapati tidak selamat untuk digunakan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, keputusan itu dibuat setelah pasukan pemantauan prasarana JLK Nmendapati bilik-bilik kuliah di kem tersebut perlu diperbaiki bagi menjaga keselamatan dan keselesaan pelatih.

"Walaupun bilik-bilik penginapan pelatih di kem itu tidak menghadapi masalah, JLKN memutuskan untuk memindahkan semua pelatih dan jurulatih supaya aktiviti yang telah dimulakan sejak minggu lepas tidak terganggu," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, pengusaha kem PLKN Titian Bintangor diberi tempoh tiga bulan untuk membaikpulih bilik-bilik kuliah tersebut.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama terhadap mana-mana kem PLKN yang gagal mematuhi Jadual Pemantuhan yang telah ditetapkan oleh JLKN. Bahkan kita tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mana-mana pengusaha kem seperti yang telah dilakukan sebelum ini.

"Di sini saya ingin menasihatkan pengusaha kem PLKN di seluruh negara supaya bersama-sama membantu kerajaan melaksanakan tugas penting ini untuk memastikan PLKN dapat berjalan dengan lancar dan sempurna demi masa depan negara yang tercinta ini," katanya.

Katanya, 68 orang pelatih kem PLKN Titian Bintangor dipindahkan ke kem PLKN PDS Resort, Port Dickson manakala selebihnya di kem PLKN Ulu Pari, Rembau (48), kem PLKN De'bana, Bandar Sri Jempol (44); kem PLKN Jugra, Banting (40); kem PLKN Setia Ikhlas, Semenyih (36); kem PLKN Karisma, Kuala Pilah (34) dan kem PLKN Paya Indah, Kuala Langat (19).

Katanya, semua ibu bapa pelatih di kem itu telah dimaklumkan mengenai perpindahan tersebut.

Artikel Lain