Matthias Dibebaskan Dari Penjara - Semasa | mStar

Matthias Dibebaskan Dari Penjara

PUTRAJAYA: Matthias Chang, bekas setiausaha politik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah dipenjarakan di Penjara Kajang selama 12 hari, dibebaskan hari ini.

Ini berikutan perintah ex-parte yang dikeluarkan bagi pembebasannya oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Sulaiman Daud sementara menunggu pendengaran rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengeluarkan perintah bagi pembebasan Matthias walaupun denda telah dibayar oleh rakan Chang.

Perintah interim juga diberikan bagi penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keengganan mengeluarkan perintah pembebasan itu.

Matthias dibebaskan kira-kira 6.30 petang di Penjara Kajang dan disambut oleh anggota keluarga dan peguam yang mewakilinya. Peguam yang mewakilinya memperoleh perintah pembebasan itu pada kira-kira 4.30 petang.

Chang yang kelihatan lemah semasa dihampiri pemberita berkata : "Saya Okay."

Semasa ditanya sama ada beliau, yang melancarkan mogok lapar sebelum ini, ada mengambil makanan akhir-akhir ini, beliau menjawab dengan suara antara kedengaran dengan tidak: "Bubur".

Chang, 60, seorang peguam, dikenakan hukuman penjara pada 1 April berikutan keengganan membayar denda RM20,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 25 Mac bagi kesalahan menghina mahkamah dalam kes fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Pada 7 April, Hakim Noor Azian Shaari enggan mengeluarkan perintah pembebasan kepada Salahuddin Hashim, rakan Chang, bagi pembebasan Chang walaupun denda itu telah dilunaskan oleh Salehuddin, atas alasan pihak ketiga tidak mempunyai locus standi untuk membayar denda itu.

Chang didapati bersalah menghina mahkamah selepas beliau gagal meminta maaf kepada mahkamah selepas bertikam lidah dengan hakim dan seorang peguam, semasa pemeriksaan balas oleh peguam dalam saman sivilnya.

Cubaan membayar denda itu dibuat tanpa pengetahuan Chang ekoran rakannya bimbang dengan keadaan kesihatannya akibat mogok lapar yang dilancarkannya. Beliau menamatkan bantahan selama sembilan hari itu selepas dirayu oleh Dr Mahathir.

Pihak berkuasa Penjara Kajang terpaksa memasukkan Chang ke Hospital Serdang selepas kesihatannya semakin lemah berikutan keengganannya mengambil makanan pejal.

Dalam afidavit beliau untuk menyokong permohonan ex-parte bagi pembebasan Chang, Salahuddin mendakwa beliau telah membayar denda itu bagi pihak Chang pada 5 April lepas dan telah menyerahkan resit asal pembayaran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi kepada pegawai Penjara Kalang dan meminta Chang dibebaskan dari penjara.

Katanya bagaimanapun beliau telah diarahkan oleh pegawai penjara untuk pergi ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah pembebasan bagi membolehkan Chang dibebaskan.

Salahuddin berkata keesokkannya, beliau pergi ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah pembebasan itu tetapi dinasihatkan oleh staf mahkamah untuk membuat permohonan kepada mahkamah.

Pada 7 April, katanya permohonannya bagi pembebasan Chang ditolak atas alasan beliau tidak mempunyai locus standi untuk memohon bagi pembebasan Chang dan permohonan pembebasan perlu dikemukakan oleh Chang sendiri.

Katanya Hakim turut memerintahkan wang denda RM20,000 yang telah dibayarnya dipulangkan semula kepadanya. Bagaimanapun, katanya beliau memutuskan untuk tidak menuntut semula RM20,000 yang dibayarnya bagi pihak Chang tetapi akan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan kelak.

Salahuddin berkata terdapat merit bagi rayuan itu dan menurutnya Mahkamah Tinggi telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan beliau tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan bagi pembebasan Chang.

Sementara itu, di Penjara Kajang, seorang daripada peguam yang mewakili Chang, Manjit Singh berkata Chang berada dalam keadaan baik dan akan pulang ke rumah.

Manjit Singh berkata Chang telah diberi layanan baik semasa ditahan di penjara.

Katanya Chang akan menjalani pemeriksaan perubatan di Pusat Perubatan Subang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Malaysia Ucap Takziah Kepada Poland

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain

Anda boros? Apa kata cuba 5 cara ini