suria

Lagi Warga Iran Ditahan Cuba Seludup Dadah

NILAI: Cuba mengatasi kebijaksanaan pihak berkuasa Malaysia, seorang warga Iran dipercayai merendam tuala dalam cairan dadah jenis syabu dalam usahanya menyeludup bahan itu ke negara ini.

Namun taktiknya untuk membawa masuk syabu seberat 1,269 gram bernilai kira-kira RM317,250 itu berjaya dikesan pihak Kastam yang menahannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa pemeriksaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata dalam tangkapan Jumaat lepas itu, pihaknya menemui dua helai tuala yang dibalut plastik lutsinar disembunyikan dalam ruang khas beg pakaian lelaki tersebut.

"Keadaan tuala itu berdebu disyaki ianya telah direndam dengan cecair yang disyaki dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita di pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam, di Jijan dekat sini hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun itu kini ditahan reman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Md Hassim berkata kes menyeludup syabu menggunakan kaedah itu adalah kali kedua berjaya dikesan pihaknya.

"Pada tahun ini didapati dadah jenis syabu diseludup dalam kuantiti yang sedikit iaitu antara satu dan tiga kilogram melibatkan 'pembawa' yang ramai dalam suatu penerbangan," katanya.

Mengulas tangkapan kerana cubaan menyeludup dadah tahun ini, Md Hassim berkata setakat ini pihaknya mengesan 17 kes melibatkan dadah bernilai RM27.3 juta dan menahan 16 warga asing iaitu dari 11 warga Iran, dua warga Republic of Guinea dan masing-masing seorang dari India, Nigeria dan Pakistan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain