suria

Kerajaan Diminta Beri Input Politik Kepada Duta Dilantik

KUALA LUMPUR: Seorang Anggota Parlimen hari ini mencadangkan agar kerajaan memberi input politik kepada duta yang dilantik ke luar negara bagi memastikan mereka mampu memberi penerangan terhadap isu semasa yang berlaku dalam negara.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata duta yang dilantik itu perlu disiapkan dengan input politik supaya tidak ada kuasa asing yang berani campur tangan hal-ehwal dalaman negara dalam memastikan kedaulatan negara ini terus dipelihara.

"Saya cadangkan supaya pelantikan duta itu latar belakangnya mestilah yang boleh menyuarakan pendirian negara supaya kita mampu untuk berhadapan dengan duta-duta negara lain.

"Sebab itu jugalah kita tidak mahu duta kita tenggelam dalam arus penerajuannya dalam hubungan Malaysia dan negara luar apabila mereka tidak boleh menyuarakan perkara sebenarnya dan tidak boleh memberi penerangan secara saksama akan apa sebenarnya yang berlaku di negara kita dari semasa ke semasa," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata pelantikan Anggota Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis yang juga bekas menteri kabinet sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat merupakan salah satu contoh terbaik.

"Yang Berhormat Rompin sebagai duta di Amerika sudah banyak memberi penerangan dan penjelasan mengenai negara ini dan akhirnya negara kita diberi sedikit penghormatan oleh negara kuasa-kuasa besar terutama dalam isu yang melibatkan hubungan antarabangsa," katanya.

Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) ketika mencelah turut mencadangkan supaya bekas menteri dan bekas ahli politik diberi peluang sebagai duta.

Bung Moktar yang bersetuju dengan cadangan itu berkata bekas menteri mahupun wakil rakyat daripada pembangkang perlulah diberikan peluang namun perlu berlandaskan keikhlasan.

Selain itu, Bung Moktar turut mencadangkan supaya Kementerian Luar mencari jalan untuk mengenal pasti penumpang yang berjalan seorang diri ke luar negara terutama sekali wanita.

"Kalau berjalan seorang diri, patut ada orang kedutaan di kaunter sebelum masuk kapal terbang. Pegawai itu perlu tanya dia apa urusan sebenar, siapa dia tuju, apa dia bawa dan kalau urusan dia tidak jelas maka hentikanlah perjalanan itu," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan rapi dan ketat itu bagi memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang terjerat dalam kes "keldai" dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain