suria

Ibu Hadapi Tuduhan Bunuh dua Anak Diperintah Bela Diri

PULAU PINANG: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ibu supaya membela diri terhadap tuduhan membunuh dua anaknya dengan menjerut leher mereka menggunakan wayar seterika, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yasin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Rosniza Ibrahim, 30, dari Kuala Kurau, Perak, menghadapi dua tuduhan membunuh anak-anaknya di rumah No 7216, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas pada 18 Feb 2007.

Dia didakwa membunuh Muhamad Alif Hakimi Idris, 6, pada jam 11 malam di rumah itu manakala Muhamad Alif Hazimi, 2, kira-kira 15 minit kemudian di tempat dan pada hari yang sama.

Tuduhan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Zaki berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan iaitu suami tertuduh, Idris Saidin dan jiran mereka, Rosniza adalah orang terakhir berada bersama dengan kedua-dua si mati.

Katanya keterangan saksi juga jelas menunjukkan bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan pembunuhan itu berdasarkan kelakuan-kelakuan pelik yang ditunjukkan.

Beliau berkata antaranya, Rosniza menghantar mesej khidmat pesanan ringkas kepada adiknya dengan menyatakan dia telah melakukan kesalahan besar dan memohon maaf atas perbuatannya.

Hakim Mohd Zaki menetapkan 29 April ini untuk menyambung perbicaraan. Rosniza diwakili peguam K. Simon Murali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain