suria

Aziz Jamaluddin Mampu Mantapkan Kepimpinan YADIM: Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baru adalah berdasarkan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman beliau dalam kerajaan.

Beliau berkata dengan pengalaman yang ada, Aziz Jamaludin yang berkelulusan Universiti Al-Azhar dan seorang peguam syari'e, mampu memainkan peranan untuk memperkasakan Yadim dalam menerajui program-program keagamaan di negara ini.

"Beliau dapat memantapkan kepimpinan Yadim kerana pengalamannya yang begitu panjang dalam pentadbiran agama termasuk sebagai kadi dan pegawai agama serta berkhidmat di bahagian pendidikan Jabatan Pelajaran dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan penerimaan tugas Yang Dipertua Yadim di sini hari ini.

Aziz Jamaludin, 56, menggantikan Datuk Nakhaie Ahmad yang tamat tempoh perkhidmatan pada Oktober lepas.Tugas itu kemudian dipangku oleh Jamil Khir.

Anak kelahiran Kampung Baru di sini, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Inggeris Kuala Lumpur sebelum menyertai kursus tahfiz Al-Quran di Nadwa Kolej Lucknow, India dari 1966 hingga 1970.

Beliau meneruskan pengajian peringkat menengah di tiga sekolah agama di Pulau Pinang dari tahun 1971 hingga 1976, sebelum ke India bagi mendapatkan sarjana dalam bidang hadis di Universiti Deoband dari tahun 1977 hingga 1979 dan menuntut di Universiti Al-Azhar dari tahun 1979 hingga 1983 dalam bidang syariah dan undang-undang.

Aziz Jamaludin pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Hakim Wilayah Persekutuan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dari November 1984 hingga Mac 1987, Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dari Julai 1991 hingga Julai 1995, setiausaha sulit kanan kepada Menteri Pendidikan dari Ogos 1995 hingga April 1998 dan ditauliahkan sebagai peguam syari'e bagi Negeri Sembilan dan Perak pada tahun 1998.

Beliau juga adalah seorang motivator dan juga seorang anggota kumpulan pemikir dalam Pemuda Umno, dan turut mempunyai kemahiran bertutur, membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa Urdu, Hindi, Arab dan Inggeris.

Dalam ucapannya, Aziz Jamaludin berkata pelantikan beliau selaku Yang Dipertua Yadim ke-10 adalah satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar dalam menentu arah tuju yayasan itu.

"Kebelakangan ini banyak perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam tentang kedudukan Islam dan orang Islam di Malaysia dan inilah hakikatnya, bahawa kita sedang mengharungi lautan bergelora, merentasi kawasan berbukit bukau, melalui hutan belantara yang penuh dengan binatang buas.

"Kita bukan sahaja harus tabah tetapi harus berhati-hati dan bijaksana mengatur langkah dalam berdakwah. Inilah antara penekanan yang saya ingin terapkan dalam pelaksanaan program-program Yadim," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain