suria

Tumpuan MCA Kini Mahu Berkhidmat Lebih Baik Kepada Rakyat - Liow

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata matlamat parti itu kini ialah untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan masalah dalaman parti itu sudah menjadi sejarah.

Beliau berkata MCA yang kini diterajui Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menumpukan untuk menyediakan kepimpinan lebih baik termasuk menjemput persatuan-persatuan kaum Cina dan Dewan Perniagaan dan Perdagangan Cina menghadiri mesyuarat MCA untuk membincangkan masalah mereka.

"Rakyat kini dapat lihat selepas pemilihan parti, MCA sekarang menumpukan untuk berkhidmat lebih baik kepada rakyat, jadi masalah dalaman parti sudah menjadi sejarah.

"Kami juga menumpukan untuk menyediakan kepimpinan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Cegah Obesiti Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Dalam pada itu, Liow berkata MCA sudah mula turun padang bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan pengundian 25 April. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain