suria

Reman Tiga Pekerja Syarikat Keselamatan Disambung

KUALA LUMPUR: Tahanan reman terhadap tiga orang pekerja syarikat keselamatan bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan karung mengandungi wang berjumlah RM254,000 di sebuah bank dekat Rawang pada 6 April lepas, disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis masih meneruskan siasatan ke atas ketiga-tiga pekerja lelaki yang berumur antara 26 dan 62 tahun yang ditahan reman sejak Selasa lepas itu, dan penahanan mereka kini dilanjutkan sehingga ke hari Isnin.

"Maklumat yang diberikan tidak mencukupi untuk kami selesaikan kes ini. Polis masih perlu mengambil keterangan dan mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan kes ini, yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata polis masih menggiatkan usaha untuk menjejaki lima lelaki dipercayai warga asing, yang kelibat mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), yang memaparkan kelima-lima mereka berlegar-legar di tingkat bawah bank berkenaan pada hari kejadian.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari Selasa lepas, tiga pekerja sebuah syarikat keselamatan membawa tiga karung berisi wang yang masing-masing berjumlah RM117,000, RM254,000 dan RM273,000 untuk diserahkan kepada sebuah bank di Rawang, mendapati salah satu dari karung wang berjumlah RM254,000 tiba-tiba hilang semasa ia berada dalam jagaan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain