suria

Polis Terengganu Tahan 116 Orang Dalam Ops Camar Octopus

BESUT: Polis Terengganu menahan 116 orang yang disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah dalam Ops Camar Octopus yang dilancarkan di sekitar kawasan pesisir pantai Besut, Setiu, dan Pulau Perhentian, sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata operasi yang disertai oleh 250 anggota dan 36 pegawai itu memberi tumpuan khusus kepada usaha membasmi penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa terdapat banyak kes yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah dilaporkan di kawasan berkenaan, bukan hanya membabitkan kalangan penduduk tempatan tetapi juga di kalangan pelancong.

"Kami laksanakan Ops Camar Octopus ini dengan tujuan membersihkan kawasan itu dari masalah dadah, terutama Pulau Perhentian kerana kami tidak mahu kawasan yang dinobatkan sebagai antara pulau yang tercantik di dunia itu dicemari dadah, sehingga menjurus kepada lain-lain kegiatan jenayah seperti mencuri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog bersama penduduk, pengusaha chalet dan pengendali bot pelancongan di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Mohd Fauzi Abduri dan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) negeri Supt Roslan Abdul Wahid.

Ops itu menyaksikan 137 serbuan dilakukan di rumah-rumah di sekitar kawasan berkenaan, serta 17 pemeriksaan bot termasuk bot nelayan di sekitar perairan Pulau Kapas, yang membabitkan anggota polis dari JSJN, Tugas Am, Bahagian Komunikasi dan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu, Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga, dan FRU.

Katanya daripada 247 orang yang diperiksa dalam operasi itu, 116 orang ditahan dengan 104 darinya ditahan mengikut Seskyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, enam ditahan mengikut 3 (1) Akta Penagih Dadah, manakala enam lagi adalah awak-awak warga Thai yang ditahan mengikut Akta Imigresen.

Mohd Shukri berkata ops itu juga bertindak sebagai serampang dua mata dalam usaha polis untuk mendekati, beramah mesra dan mengetahui permasalahan penduduk serta pengusaha pelancongan di kawasan pulau itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain