suria

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Dalam Longgokan Sampah

KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki yang dibungkus dengan surat khabar dan masih bertali pusat ditemui dalam longgokan sampah di sebuah kawasan kedai di Sungai Choh, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi berkata mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ketika sedang mengangkut sampah di kawasan terbabit kira-kira 8 pagi.

"Mengikut keterangan pekerja MDHS, semasa pekerja-pekerja mengangkat sampah ke dalam lori sampah, satu plastik yang di dalamnya dibalut dengan surat khabar jatuh berhampiran kaki salah seorang pekerja.

"Tanpa perasaan curiga, salah seorang daripadanya mengangkat sampah terbabit dan terkejut apabila melihat sebelah kaki bayi yang terkeluar daripada balutan surat khabar berkenaan sebelum bergegas membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata mayat bayi yang cukup sifat itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek meletakkan bayi yang tidak berdosa itu dalam longgokan sampah lewat malam semalam bagi mengelak dikesan penduduk di kawasan perumahan berdekatan, katanya.

"Kita juga percaya, bayi terbabit meninggal ketika proses kelahiran dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan. Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada penduduk di sekitar lokasi kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain