suria

Lima Maut, Dua Parah Dua Kereta Bertembung Di KESAS

SHAH ALAM: Lima maut manakala lima lagi cedera parah selepas dua buah kereta bertembung dalam satu kemalangan di Km12 Lebuhraya Kesas menghala ke Pelabuhan Barat berhampiran Pendamar dekat sini, semalam.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang, DSP Rosly Abdul Rahman berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.45 malam apabila sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki enam sahabat dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki empat sekeluarga.

Beliau berkata empat daripada enam sahabat yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai N. Vickneswaran, 19, Abdul Ahmad Burukhan Rahim, 17, M. Karthik, 16 serta C. Vickneswaran, 15, dan mayat mereka sudah dibawa pulang ke Shah Alam dekat sini.

"Mayat Supian Saliman, 41, yang merupakan pemandu Honda Civic itu pula sudah dibawa ke Taman Teluk Gedung Indah dekat Klang untuk urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Katanya penumpang Honda Civic yang tercedera dalam kejadian itu terdiri daripada isteri Supian, Fairuz Mohamad Sharip, 41, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua anak mereka, Aisyah Maisara, 6, dan abangnya, Syaril Saszean, 10.

Rosly berkata seorang lagi penumpang kereta Proton Iswara yang hanya dikenali sebagai Ridzuan, 16, juga masih dirawat di ICU, manakala seorang lagi penumpang kereta itu, kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Norizan, 13, dirawat di wad pemerhatian.

Beliau berkata polis masih menyiasat punca kemalangan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya berdasarkan siasatan awal, polis percaya kemalangan berlaku apabila kereta Proton Iswara itu terbabas ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic, namun punca yang menyebabkan kereta itu terbabas masih belum diketahui.

Akibat pelanggaran itu kedua-dua kereta remuk dan bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat yang tersepit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain