Lelaki Dikehendaki Polis Ditahan Selepas Bersembunyi Setahun - Semasa | mStar

Lelaki Dikehendaki Polis Ditahan Selepas Bersembunyi Setahun

NIBONG TEBAL: Selepas setahun bersembunyi, seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung satu kes pembunuhan di sini pada April tahun lepas berjaya ditahan di Skudai, Johor.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada 6 April lepas dan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS bagi membantu siasatan kes pembunuhan K. Kantha, 38, di Taman Bistari di sini pada 28 April tahun lepas.

"Dia dipercayai melarikan diri ke Skudai dan bersembunyi di sana bagi mengelak ditahan polis. Bagaimanapun hasil siasatan dan risikan kita berjaya mengesan serta menahan lelaki terbabit," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas kes pembunuhan itu, Shafien berkata, Kantha dipercayai diserang dengan topi keledar oleh seorang lelaki yang marah kerana diganggu dan dimaki dengan kata-kata kesat ketika sedang minum arak.

"Dalam kejadian itu mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya selepas koma selama empat hari," katanya.

Shafien berkata hasil penahanan lelaki itu juga polis telah menemui topi keledar yang digunakan untuk memukul Kantha.

Polis kini mengesan enam lagi lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain