suria

Penduduk Bakar Geran Rumah Sebagai Protes Projek Jalan Terbengkalai

TELUK KEMANG: Akibat projek pembinaan jalan raya terbengkalai selama enam tahun, 24 penduduk dari Rumah Rakyat Pasir Panjang, Port Dickson nekad membakar geran rumah mereka sebagai tanda protes.

Kerja pelebaran jalan sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan Pasir Panjang ke Linggi itu terbiar selepas kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek itu sehingga menyebabkan banjir lumpur sering terjadi selain keadaan jalan yang membahayakan.

Wakil penduduk yang mengetuai protes itu, Rahimuddin Md Harun berkata penduduk di situ pernah membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada satu pun tindakan yang diambil.

"Kita tidak menolak pembangunan tetapi jalan ini sudah terbiar terlalu lama. Bila hujan rumah kami dilanda banjir lumpur, bila kering, debu berterbangan dan permukaan jalan juga tidak selamat," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) berkata penduduk sudah mula hilang sabar apabila kerap diberitahu bahawa projek itu masih berjalan tetapi sudah enam tahun berlalu dan jalan masih tidak siap-siap.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Siti Rohani Muhammad, 28, berkata anaknya kini menghidap penyakit lelah yang dipercayai akibat debu daripada projek jalan raya yang terbengkalai itu.

"Saya sudah duduk di sini selama lima tahun, memang sudah tidak tahan lagi kalau boleh hendak pindah. Bila kering berdebu dan saya terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah tetapi bila hujan, rumah kami pula dilanda banjir lumpur," katanya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Datuk Ir Roslan Mohd Taha yang ditemui pemberita ketika menjalankan pemantauan di kawasan itu menjelaskan, projek jalan raya itu terbengkalai akibat kegagalan kontraktor menyiapkan projek itu ekoran masalah dalaman.

Kontraktor lain sudah dilantik untuk meneruskan semula projek itu dan ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini, katanya.

Sebuah tembok berukuran 1.5 meter tinggi juga akan dibina di hadapan rumah penduduk yang dilanda banjir lumpur semasa hujan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain