suria

MKN Diarah Siasat Tuduhan Anwar Mengenai Ejen Perisik Israel

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyiasat tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ejen perisik Israel telah bertapak di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Katanya beliau juga telah meminta Jawatankuasa Pemilihan Parlimen menyiasat tuduhan itu selain mengarahkan pegawai khas beliau Datuk Markiman Kobiran membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat tuduhan itu.

"Dengan cara ini, orang ramai tak boleh menuduh kita (kementerian) menyembunyikan apa-apa yang kemudiannya mungkin akan diputar-belit oleh mereka (pembangkang)," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Katanya, beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dengan pasukan keselamatan berkenaan mengambil langkah segera itu kerana tuduhan yang dilemparkan itu sangat serius.

Tuduhan itu juga akan dijadikan sebagai agenda untuk dibincangkan pada mesyuarat kementerian, kata Hishammuddin sebagai mengulas tuduhan Anwar kononnya ejen perisik Israel telah bertapak di ibu pejabat PDRM Bukit Aman semasa membahaskan usul pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lepas.

Anwar mendakwa beliau mempunyai dokumen sebagai bukti untuk mengesahkan bahawa ejen perisik berkenaan mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui sebuah syarikat pengkomputeran.

Syarikat berkenaan merupakan sub-kontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM yang didaftarkan di Singapura.

Hishammuddin berkata perkhidmatan syarikat terbabit telah ditamatkan sebaik sahaja keraguan terhadap isu keselamatan timbul apabila mereka beroperasi.

"Mengenai tuduhan bahawa ada ejen Israel di Bukit Aman pula, kesemua pekerja syarikat berkenaan yang masuk ke kawasan Bukit Aman merupakan warganegara Malaysia, kecuali seorang perunding aplikasi yang merupakan warganegara India," katanya.

Menteri itu juga tidak menolak bahawa tuduhan yang dilemparkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah bagi memenuhi kepentingan politiknya, berikutan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

"Kenapa sekarang sedangkan ia (projek naik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM) berlaku pada tahun 2008? Sekarang sudah tahun 2010 dan kenapa beriya-iya nak tuduh ada ejen Israel di Bukit Aman dan sebagainya?" katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain