suria

UPP Perlis Rampas Petrol, Diesel Cuba Diseludup

PADANG BESAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perlis hari ini merampas 570 liter petrol dan 360 liter diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam serbuan di sebuah pondok dalam kebun pisang dan betik di Kampung Kolam di sini.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, dalam serbuan pukul 10 pagi itu, pihaknya menemui petrol dan diesel itu yang disimpan dalam enam tong yang setiap satu boleh mengisi sehingga 1,000 liter minyak, di pondok itu yang dijadikan tempat transit bahan bakar yang akan diseludup ke Thailand.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, UPP turut menemui pam penyedut minyak, generator dan sebuah kenderaan yang diubahsuai untuk kegiatan penyeludupan dengan tangkinya boleh membawa muatan sehingga 400 liter minyak di samping sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Empat orang lelaki tempatan berusia antara 30 dan 50 tahun yang berada di premis itu ditahan untuk membantu siasatan manakala minyak dan peralatan serta kenderaan dirampas," katanya.

Zakaria berkata, kes itu telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Nilai rampasan petrol itu adalah sebanyak RM1,026, diesel RM630, pam penyedut RM1,000 dan generator bernilai RM1,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain