suria

Najib Dijadual Bertemu Presiden Obama Di Sidang Kemuncak Nuklear

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke Washington DC dan New York, Amerika Syarikat pada 10 hingga 16 April.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang diadakan pada 12-13 April di ibu negara Amerika atas jemputan Presiden Barack Obama.

Semasa di Washington DC, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Obama di luar sidang kemuncak bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

"Penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan negara-negara lain termasuk Amerika mengenai isu-isu keselamatan serta menjadi satu platform untuk Malaysia mengemukakan pendiriannya mengenai isu nuklear," menurut kenyataan itu.

Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais serta Tan Sri Rastam Mohd Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.

Delegasi Malaysia dianggotai pegawai-pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan serta tokoh-tokoh perniagaan dan wakil media.

Menurut kenyataan itu, semasa lawatan berkenaan Najib dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Amerika, Anggota Kongres dan tokoh perniagaan Amerika.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa (CSIS) serta Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan di Dewan Perniagaan Amerika di Washington DC serta menyampaikan ucapan pada jamuan tengah hari di Asia Society di New York.

Najib juga akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Stevens Institute of Technology (SIT) serta perjanjian antara Microsoft dan Hitech Padu.

Perdana Menteri turut dijadual melancarkan "Faces of Malaysia Showcase," satu program khas yang diadakan bertujuan mempromosikan Malaysia kepada khalayak Amerika serta mengukuhkan jalinan antara rakyat kepada rakyat kedua-dua negara.

Faces of Malaysia Showcase akan diadakan mulai 10 hingga 11 April 10 dan 13 April.

"Lawatan kerja Perdana Menteri ke Amerika akan meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Amerika. Lawatan ini juga akan profail Malaysia melalui penganjuran program Faces of Malaysia Showcase," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan lawatan kedua Najib ke Amerika sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lepas. Lawatan kerja pertama ke Washington DC dan New York adalah pada 22 hingga 25 September semasa dalam perjalanan bagi menghadiri Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Trinidad dan Tobago. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain