suria

Najib Berlepas Pulang Selepas Hadiri Sidang Kemuncak Asean

HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang ke tanah air tengah hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-16 di sini.

Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari lapangan terbang Antarabangsa Noi Bai di sini pada pukul 12.40 tengah hari (1.40 petang waktu Malaysia).

Semalam Perdana Menteri yang tiba di sini Rabu lepas menghadiri majlis perasmian sidang kemuncak itu dan menyertai sesi pleno di Pusat Konvensyen Nasional, di sini.

Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung, Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo dan Perdana Menteri Laos Bouasone Bouphavanh di luar mesyuarat itu semalam.

Sebelum menghadiri sidang kemuncak semalam, Najib sempat merasmikan hotel InterContinental Westlake, yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, sebelum bersama rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen, menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat Malaysia Jaks Resources Bhd dan empat entiti Vietnam di sebuah hotel di sini.

Perjanjian dengan pihak Vietnam yang membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Elektrik Vietnam, Vinacomin dan Hai Doung Province Office itu adalah bagi pembangunan sebuah kilang tenaga termal batu arang 600MW berharga USD2 bilion (RM6.4 bilion) di wilayah Hai Duong.

Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Gamuda Berhad dari Malaysia dan Gamuda Land Vietnam serta Hanoi City Peoples' Committee bagi perlaksanaan projek rawatan sisa buangan di daerah Hoang Mai dan projek pembangunan bandar di sini yang nilai kedua-duanya berjumlah USD500 juta (RM1.6 bilion).

Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia AirAsia Berhad dan VietJet Aviation Joint Stock Company pula menandatangani satu perjanjian perkongsian strategik bagi penyediaan perkhidmatan berkaitan penerbangan kepada VietJet Aviation Joint Stock Company dengan pelaburan bernilai kira-kira USD3.5 juta (RM11.3 juta), dan majlis menandatangani perjanjian itu juga disaksikan oleh Najib.

Perdana Menteri turut menyertai lain-lain pemimpin dari Vietnam, Filipina, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Kemboja, Laos dan Myanmar untuk sesi retreat sidang kemuncak itu di pusat konvensyen berkenaan hari ini sebelum berlepas pulang. Najib dijangka berlepas ke Washington malam ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan nuklear. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain