suria

Lelaki Menyamar Pegawai Daerah Tawar Kontrak Projek Sekolah

LANGKAWI: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Langkawi, mengesan kes penipuan penawaran projek menaik taraf beberapa sekolah di pulau ini membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Pengerusinya Mohd Sofi Hashim mendakwa kegiatan penipuan itu dilakukan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi sejak 5 April lalu dan sehingga kini lebih 20 kontraktor telah terbabit.

"Setiap kontraktor ditawarkan projek untuk laluan pejalan kaki dan mengecat sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Sekolah Kebangsaan Kelibang, Sekolah Kebangsaan Bayar dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Chempedak.

"Mereka dikenakan bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000 dan diminta memasukkan ke dalam dua akaun berlainan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Sofi mengingatkan lebih 100 anggota di bawah persatuannya supaya berhati-hati dengan tawaran itu serta membuat laporan polis segera jika mendapat tawaran itu.

Katanya kegiatan penipuan itu turut dikesan di beberapa bandar lain di Alor Setar, Kulim dan Sungai Petani. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain