suria

Kes Michael Soosai: Tiga Lelaki Termasuk Atendan HKL Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL) diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memalsukan daftar kematian, permit kubur dan sijil kematian penjenayah dikhendaki, Michael Soosai.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh tersebut.

Dalam penghakimannya, katanya, mahkamah telah mengambil kira tiga elemen penting iaitu sama ada sijil kematian serta permit kubur dipalsukan untuk tujuan menipu, kedua sama ada prosedur di Bilik Mayat HKL tidak dipatuhi serta adakah Soosai benar-benar masih hidup.

Mohamad Sekeri berkata keterangan 23 saksi pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen tersebut.

Beliau berkata atendan HKL K. Subramaniam, 33, merupakan penjawat yang bertugas pada 13 September 2003 ketika bilik mayat menerima mayat seorang lelaki mati akibat HIV positif yang hanya dinyatakan sebagai "tidak dikenali".

Subramaniam, iaitu tertuduh ketiga, pada buku rekod telah mengubah butiran mengenai mayat tersebut dengan butiran Soosai sehingga menyebabkan doktor yang bertugas mengeluarkan sijil kematian dan permit pengebumian.

Sementara itu, tertuduh pertama J. Kumaresan, 28, telah menggunakan kedua-dua dokumen tersebut dalam menuntut mayat "Soosai" keesokan harinya dan membuat urusan dalam membakar mayat tersebut.

Sementara itu tertuduh kedua seorang peniaga besi lusuh V. Sanjeev Kumar telah bersubahat dalam melakukan kesemua kesalahan itu.

Subramaniam dari Ulu Kinta, Perak, bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas, didakwa menipu Dr Wan Mohamed Zamri Wan Nawawi, 45, untuk mengeluarkan sijil kematian di bilik mayat HKL antara 11 pagi dan 3 petang, 12 September 2003.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat pula, Subramaniam bersama seorang lagi yang masih bebas, menghadapi tuduhan memalsukan daftar kematian HKL bertarikh 12 September 2003, permit kubur dan sijil kematian dengan niat kesemua sijil itu digunakan untuk tujuan penipuan.

Sanjeev dan Kumaresan pula dituduh bersubahat dengan Subramaniam dalam empat tuduhan berkenaan.

Hakim menetapkan tiga hari iaitu 17, 18 dan 27 Mei ini untuk mendengar kes pembelaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Faizal Syed Amir sementara Kumaresan diwakili peguam Hasnal Rezua Merican. Sanjeev dan Subramaniam diwakili peguam Naran Singh. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain