suria

Buruh Indonesia Dibunuh Dengan Kepala Hampir Putus Akibat Cemburu

KUALA LUMPUR: Mayat seorang pekerja kontrak warga Indonesia ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hampir terputus di sebuah rumah teres setingkat di Kampung Setia Kuang, Rawang malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Makrus, 40, ditemui kira-kira pukul 9 malam dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan kecederaan pada anggota badan termasuk kaki dan tangannya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mangsa dilibas dengan parang berulang kali hingga mati oleh teman senegaranya yang dipercayai bermotifkan cemburu.

"Suspek yang berusia 26 tahun, mengesyaki Makrus yang menetap di Kundang, menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya sebelum menghubungi mangsa agar datang ke rumah sewa suspek kononnya untuk berbincang.

"Apabila mangsa tiba di rumah tersebut, suspek memasang radio dengan kuat dengan harapan jiran tidak mendengar pertengkaran mereka sebelum bertindak melibas mangsa di ruang tamu menggunakan parang panjang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata jiran suspek datang ke rumah suspek selepas curiga dengan bunyi bising radio yang luar biasa.

"Sebaik menolak pintu dia terkejut melihat suspek sedang mengelap tompokan darah di dinding ruang tamunya menggunakan baju dan sebaldi air.

"Suspek yang menyedari perbuatannya itu diketahui jiran terus melarikan diri sebelum jirannya bertindak menghubungi pihak polis.

Katanya polis menemui mayat mangsa dan parang di dalam tandas selain terdapat kesan tompokan darah di lantai dan dinding ruang tamu rumah suspek.

Polis kini melancarkan gerakan memburu suspek yang juga bekerja sebagai buruh binaan dan sedang mengesan di mana anak dan isteri suspek yang juga warga Indonesia berada, katanya.

Beliau berkata dua hari sebelum kejadian, suspek yang tinggal bersama isteri dan anaknya itu, membawa mereka keluar sebelum suspek pulang seorang diri semalam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain