suria

Yu Berazam Teruskan Perjuangan Chew

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MCA yang baru, Datuk Yu Chok Tow berjanji akan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh Datin Paduka Chew Mei Fun untuk membawa pergerakan itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya berharap sayap Wanita akan terus berkembang dan menjadi bertambah kukuh walaupun kita terpaksa berhadapan dengan realiti ini (peletakan jawatan Chew),” kata Yu dalam satu sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan Chew untuk melepaskan semua jawatan parti dan kerajaan di Wisma MCA hari ini.

Chew turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Selangor Wanita. Timbalannya, Chew Lee Giok secara automatik mengambil alih kerusi ketua Wanita MCA Selangor. Yu berkata, kesemua barisan kepimpinan Wanita telah merayu kepada Chew supaya menimbang semula keputusannya untuk meletakkan jawatan tetapi beliau enggan berganjak walau sedikit pun.

“Akhirnya kami akur dengan komitmen beliau untuk berpegang kepada kata-katanya dan juga prinsip perjuangannya yang tinggi,” ujar Yu.

Yu juga berkata bahawa Chew berhujah pelantikannya sebagai senator dan timbalan menteri adalah atas kapasitinya sebagai ketua sayap Wanita parti. Atas prinsip itu jugalah beliau turut melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan juga dalam Dewan Negara.

“Tindakan beliau adalah satu tindakan yang terhormat dan patut menjadi contoh kepada kita semua,” tegas Yu.

Ditanya mengenai pendirian Pergerakan Wanita terhadap kepimpinan baru parti, Yu menjawab, mereka menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan pada pemilihan 28 Mac lalu.

Satu mesyuarat khas Wanita akan diadakan minggu depan untuk menentukan pelantikan lain-lain jawatan dalam sayap parti itu.

Ditanya apakah Chew akan diminta untuk menjadi penasihat kepada Wanita, Yu berkata soal itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Wanita akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain