suria

TNB Membelanjakan RM1.3 Bilion Bagi Kerja Naik Taraf Sistem

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion untuk kerja-kerja menaik taraf sistem pembahagiannya bagi tahun kewangan 2010 dalam usaha berterusan memberikan perkhidmatan bekalan elektrik berkualiti kepada lebih 7.0 juta penggunanya.

Peruntukan itu merupakan satu peningkatan berbanding RM925.8 juta yang dibelanjakan pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2009, kata Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset Bahagian Pembahagian TNB Ismail Mohd Din.

Peruntukan RM1.3 bilion tersebut akan dibelanjakan untuk peningkatan sistem dan pembangunan sistem pembahagian TNB yang melibatkan pembinaan 39 Pencawang Pembahagian Utama (PPU), katanya kepada Bernama pada majlis pemukiman media TNB 2010 di Port Dickson baru-baru ini. Sistem Pembekalan Elektrik di Pembahagian TNB merangkumi sistem bekalan, 33 kV, 22kV, 11kV, 0.4 kV dan 230volt.

Daripada 39 PPU itu, 11 di Kuala Lumpur (RM93 juta), sembilan di Johor (RM70 juta), lima di Pulau Pinang (RM27 juta), lima di Selangor (RM32 juta), tiga di Negeri Sembilan (RM25 juta), dua di Kelantan (RM16 juta), dua di Pahang (RM16 juta) satu di Putrajaya (RM5 juta) dan satu di Perak (RM4 juta).

TNB juga akan membelanjakan RM715 juta untuk selenggaraan sistem pada tahun kewangan 2010, lebih tinggi berbanding RM646 juta yang dibelanjakan pada tahun sebelumnya, katanya.

Ismail berkata TNB turut menjalankan kerja-kerja penyelenggaraannya dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi, antaranya Kamera Termografi

"Infra-Red" yang dapat mencegah kerosakan peralatan elektrik pada sistem TNB.

"Alat ini dapat mengesan "hot spot" (titik bermasalah) di peralatan-peralatan elektrik pada sistem pembahagian," katanya.

Selain itu katanya, TNB juga akan menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan sistem operasinya, yang termasuk pengawalan secara jarak jauh keseluruhan 472 PPUnya dari pusat kawalan bermula Jun 2010.

Ismail berkata kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara yang dilakukan TNB ini telah dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan.

Berdasarkan Indeks Purata Tempoh Masa Gangguan Sistem (SAIDI) TNB telah dapat mengurangkan masalah bekalan elektrik terputus dengan indeks SAIDI pada 68 minit pada 2009, satu peningkatan prestasi sebanyak 83 peratus berbanding dengan indeks SAIDI 499 minit pada 1999.

"Indeks prestasi 68 minit meletakkan kita setanding dengan negara-negara maju G8 seperti United Kingdom yang mana indeks prestasi mereka antara 68 hingga 70 minit," katanya.

SAIDI adalah kaedah yang diguna pakai bagi mengira tempoh gangguan mengikut minit bagi setiap pelanggan dikira dalam setahun.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain