suria

Rakyat Malaysia Nikmati Kesihatan Oral Lebih Baik

KLANG: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat Malaysia kini menikmati tahap kesihatan oral lebih baik berbanding ibu bapa mereka.

Dalam zaman ini, kebanyakan rakyat pertengahan umur dan golongan remaja akan dapat mengekalkan gigi asal mereka hingga sepanjang hayat, katanya ketika melancarkan Bulan Kesihatan Oral anjuran bersama Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd dan Persatuan Pergigian Malaysia di sini.

Liow berkata bahawa Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam meningkatkan mutu kesihatan oral sejak 50 tahun yang lepas walaupun masih ada rakyat negara ini yang mengalami penyakit oral yang sepatutnya boleh dicegah.

Kebanyakan mereka ini, katanya, terdiri golongan yang tidak berpeluang mendapat maklumat atau sumber bagi menikmati kesihatan oral yang baik.

"Usaha menjamin kesamarataan dalam bidang kesihatan ini merupakan satu cabaran besar. Kita perlukan pendekatan yang pelbagai termasuk penjagaan klinikal, program kemasyarakatan dan penyelidikan," katanya.

Liow berkata bahawa tahun lepas, 62.3 peratus daripada mereka yang berumur 12 tahun dan 53 peratus yang berumur 16 tahun di Malaysia tidak mengalami sebarang masalah gigi berlubang.

Bagaimanapun, hanya 32.2 peratus kanak-kanak berumur enam tahun yang tidak mengalami masalah gigi reput, katanya.

Tahun lepas, seramai 566,685 kanak-kanak tadika dan 2.7 juta pelajar sekolah rendah diberi tunjuk ajar mengenai cara menggosok gigi yang betul.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain