suria

Pengimpal Besi Edar Dadah Dihukum Gantung

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pengimpal besi selepas didapati bersalah mengedar dadah.

Tan Teck Yong, 49, didapati bersalah mengedar 10.12 gram heroin dan 14.23 gram morfin pada Julai tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh dalam keterangan pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Setelah menimbang dan mengambil kira keterangan saksi-saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan pertuduhan mengedar dadah bagi tertuduh," katanya.

Tan yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang semasa keputusan dibacakan.

Tertuduh yang masih bujang didakwa mengedar dadah itu pada 2.15 pagi 1 Julai tahun lepas di Km 126, Jalan Segamat-Kuantan dekat bandar Muadzam Shah, Rompin.

Tan diwakili peguam Mohd Najid Husain manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain