suria

Noh Mohon Maaf Ungkit Pemberian Kerakyatan

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana kaum ketika menyentuh mengenai pemberian kerakyatan dalam ucap utamanya pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor semalam dan memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung.

Katanya, beliau sekadar memetik ucapan bekas Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC, mendiang Tun V.T Sambanthan dengan hasrat mengukuhkan lagi semangat kerjasama dan setiakawan anggota dan pemimpin parti-parti komponen BN.

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana kaum. Bagi saya ianya adalah bahan sejarah yang amat penting demi memastikan negara ini terus berada dalam keadaan aman dan rakyat berbilang kaum dapat hidup harmoni sesuai dengan konsep 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, jika petikan ucapan tersebut tidak sesuai dibaca pada zaman sekarang dan boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak, maka beliau memohon maaf.

Semalam, Noh dalam ucapannya itu memetik ucapan bekas presiden dua parti komponen BN itu pada era 1960-an yang memuji Umno kerana memberi kerakyatan kepada kaum bukan Melayu.

Bagaimanapun, 15 anggota perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu kerana menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Isu ucapan Noh itu turut dibangkitkan di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2009) 2010 hari ini oleh beberapa anggota pembangkang termasuk Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang menggesa kerajaan meminta maaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menggulung perbahasan, menolak desakan pembangkang itu dan meminta Lim menyelesaikannya dengan Noh.

Mohamed Nazri bagaimanapun bersetuju dengan kenyataan Lim bahawa semua kaum di negara ini merupakan penyumbang kepada kejayaan negara selama ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain