Lelaki Berang Simbah Asid Selepas Isteri Tolak Hubungan Kelamin - Semasa | mStar

Lelaki Berang Simbah Asid Selepas Isteri Tolak Hubungan Kelamin

KUANTAN: Seorang peneroka yang berang selepas isterinya menolak melakukan hubungan kelamin, bertindak menyimbah cuka getah ke muka dan tubuh isterinya itu.

Dalam kejadian 2 pagi semalam, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sahaja pulang ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, suspek masuk ke bilik tidur dan mengejut isterinya yang sedang tidur untuk mengadakan hubungan kelamin.

"Wanita berusia 30-an itu bagaimanapun menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek tiba-tiba tiba-tiba naik angin lalu terus mengambil cuka getah yang berada dalam baldi di luar rumah dan menyimbah ke arah badan serta muka isterinya itu.

Zulkifli berkata, dua anak mangsa berusia belasan tahun yang turut berada di rumah, segera bergegas mendapatkan ibu mereka untuk memberi bantuan selepas terdengar perkelahian itu.

"Mereka telah memanggil ibu saudara yang juga jiran sebelah rumah untuk membawa mangsa ke klinik kesihatan Bukit Goh sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya.

Berikutan kejadian itu, kakak ipar mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Panching kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Suspek yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Mangsa yang cedera parah di bahagian muka dan tubuh bagaimanapun dilaporkan stabil," katanya.

Difahamkan, suspek telah berkahwin dengan mangsa sejak 15 tahun lepas, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Latihan Bersama ATM, TNI Penting: Zahid

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain