suria

IPP Meningkat 4.9 Peratus Pada Februari 2010

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Februari tahun ini meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun, berikutan kenaikan indeks pembuatan dan elektrik.

Bagaimana pun, indeks itu turun 11.0 peratus berbanding dengan Januari 2010, kata Jabatan Perangkaan di dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

IPP pada Januari telah disemak semula kepada positif 13.7 peratus tahun ke tahun, kata jabatan itu.

Bagi tempoh Januari-Februari, IPP meningkat 9.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Pengeluaran sektor pembuatan pada Februari meningkat 6.8 peratus berbanding bulan yang sama pada 2009, berikutan peningkatan produk elektrik dan elektronik (31.0 peratus), produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (30.5 peratus) dan produk kayu, perabot, produk kertas, percetakan (17.8 peratus).

Bagaimana pun, indeks tersebut turun 9.9 peratus berasaskan bulan ke bulan.

Jabatan Perangkaan juga menyatakan pengeluaran bagi sektor perlombongan turun 0.3 peratus pada Februari berbanding dengan bulan yang sama tahun lepas, berikutan penurunan indeks minyak mentah.

Mengenai prestasi sektor elektrik, pengeluarannya meningkat 11.4 peratus pada Februari, berbanding dengan bulan yang sama tahun lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain